Bengkel Penulisan Teks Ucapan JAKIM, Seni Pengaruhi Hadirin

Bagi memantapkan lagi penghasilan titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, teks ucapan dan kata aluan YAB Perdana Menteri, YAB Timbalan Perdana Menteri, YB Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta YBhg. Ketua Pengarah JAKIM bagi majlis-majlis rasmi kerajaan di bawah kelolaan JAKIM, satu Bengkel Penulisan Teks Ucapan berpengaruh telah dijalankan oleh Unit Perhubungan JAKIM dengan kerjasama Akademi Penulis Sdn Bhd.

Bertempat di Pusat Latihan Islam Kundasang, Sabah seramai 15 orang pegawai JAKIM berkampung selama 5 hari 4 malam bagi memantapkan lagi penulisan teks ucapan yang biasa mereka hasilkan.

Beberapa aspek ditekankan selama berlangsungnya bengkel ini. Antara aspek yang ditekankan ialah daripada aspek tatabahasa dalam penulisan, protokol panggilan yang tepat serta teknik penulisan yang kreatif dan pantas.

Di awal permulaan bengkel, setiap peserta diberikan satu tugasan untuk menghasilkan sebuah teks ucapan. Tugasan tersebut perlu disiapkan untuk dibentangkan pada sesi terakhir bengkel. Suasana tenang dan dingin sepanjang masa di Kundasang menyuntik dan memberikan kesegaran kepada peserta untuk menghasilkan teks ucapan yang berpengaruh.

Menurut salah seorang peserta, Ustazah Nor Aisyah “Bengkel ini memberi pendedahan kepada pelbagai teknik penulisan untuk menghasilkan teks ucapan terbaik, berbanding kaedah peserta sebelum menghadiri program ini iaitu lebih kepada membina teks ucapan tanpa sebarang struktur”

Bagi Ustaz mohd Asri, ” Bengkel ini memberi pendedahan tentang teknik-teknik penulisan ucapan yang betul, berstruktur dan sistematik. Ini akan banyak membantu dalam penulisan teks-teks ucapan selepas ini”

Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Penulisan Teks Ucapan ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), En Mohd Noor bin Abd Hamid.

Kami di meja Akademi Penulis mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak JAKIM yang memberikan kepercayaan untuk kami mengendalikan Bengkel Penulisan Teks Ucapan ini. Semoga ilmu yang dikongsi akan memberikan 1001 manfaat kepada ummah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *