Kursus High Impact Presentation di Kolej Komuniti Kuantan Ditunda

Alhamdulillah sudah berada di lobi Hotel Prinzpark, Kuala Ibai, Terengganu. Pagi tadi berlepas dari Terminal Tambang Murah Kuala Lumpur menaiki pesawat Air Asia jam 7.22 pagi, dihantar ke sana oleh isteri tercinta. Kapal terbang sepatutnya berlepas lebih awal iaitu pada jam 7.00 pagi. Ia ditangguh sementara kerana didapati bilangan penumpang berada di dalam kapal terbang tidak sama dengan jumlah penumpang yang mendaftar masuk. Mereka terpaksa membuat kiraan semula dan Alhamdulillah selepas 20 minit tertunda, kapal terbang dapat berlepas.

Ini adalah minggu ketiga berturut-turut saya mengendalikan kursus, sejak mengendalikan Kursus TEAM SUPER Re-CHARGE! di Pulau Langkawi untuk Perbadanan Putrajaya hinggalah ke hari ini. Besok akan mengendalikan kursus KOMUNIKATOR SUPER untuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Terengganu di sini. Alhamdulillah sibuk yang baik :).

Minggu lepas berlaku satu lagi sejarah menarik dalam hidup saya sebagai seorang jurulatih dan inspirator. Alhamdulillah FINE Academy diberikan kepercayaan untuk mengendalikan kursus HIGH IMPACT PRESENTATION untuk kumpulan pensyarah dan pengarah Kolej Komuniti bagi tujuan kenaikan pangkat ataupun lebih dikenali sebagai kursus CPCM (Career Path Competency Matrix). Saya bersama pasukan saya disertai Tuan Zamri Mohamad, Cik Farah Lina dan beberapa fasilitator menjelajah 3 Kolej Komuniti untuk mengendalikan kursus sama buat 3 kumpulan. Kumpulan pertama di Kolej Komuniti Jasin, kedua di Kolej Komuniti Kuala Terengganu dan ketiga di Kolej Komuniti Kuantan.

Alhamdulillah kami sudah selesai sepenuhnya untuk dua kursus awal iaitu untuk Kolej Komuniti Jasin, Melaka dan Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Terengganu. Transformasi pesertanya amat mengagumkan. Daripada hari pertama bermula kelas hinggalah ke hari akhir ketika proses penilaian dilakukan, boleh dikatakan 80 ke 90 peratus menunjukkan perubahan 360 darjah. Perubahan daripada segi keyakinan diri, kaedah berhadapan dengan audiens dan juga presentasi slaid mereka. Pihak kami amat gembira dengan perubahan yang berlaku pada mereka.

High Impact Presentation JPKK

High Impact Presentation JPKK

Namun apabila bermula sahaja kursus di Kolej Komuniti Kuantan, berlaku bencana banjir besar di Pahang. Kawasan Kolej Komuniti Kuantan air naik mendadak selepas hujan tanpa henti sejak 2 hari, pada mulanya sudah kelihatan bibit air dalam perjalanan dari homestay di mana kami menginap ke tempat kursus. Pada ketika itu dalam hati sudah terdetik ‘banjir’. Apabila memulakan kursus jam 8.30 pagi, kami terpaksa menghentikan sesi pada jam 10.00 pagi kerana diumumkan supaya kereta para peserta perlu dialihkan akibat kenaikan paras air di hadapan bangunan Kolej Komuniti Kuantan. Kemudian kursus diteruskan sehingga jam 12.20 tengah hari dan sekali lagi ditangguhkan selepas pengumuman bahawa air naik dengan cepat dan diminta kesemua kereta dialihkan ke kawasan yang lebih tinggi.

Banjir di Kolej Komuniti Kuantan

Banjir di Kolej Komuniti Kuantan

Pada ketika itu hati saya sudah mula berkata-kata, rasanya ada sesuatu yang akan berlaku. Pada ketika wakil penganjur datang bertemu dengan saya. Beliau baru sahaja dihubungi oleh wakil Jabatan Pengajian Kolej Komuniti meminta saya membuat pertimbangan sama ada kursus ini dapat diteruskan ataupun tidak. Suatu keputusan penting yang perlu saya lakukan. Jika diteruskan kemungkinan peserta terperangkap dalam banjir dan sukar keluar daripada kawasan, jika tidak perlu ditunda ke tarikh lain. Kasihan kepada para peserta yang datang dari Perak, Selangor dan kawasan luar Kuantan. Pada ketika itu saya berbincang dengan para peserta termasuk salah seorang daripadanya Ketua Jabatan di Kolej Komuniti Kuantan, Tuan Yusof. Kami sebulat suara bersetuju untuk  menunda kursus kerana merasakan situasi sebegini berbahaya untuk kesemua peserta. Kebarangkalian tidak dapat keluar dari Kuantan ada kerana berita terbaru bandar Kuantan sudah ditenggelami air pada ketika itu.

Teringat peristiwa serupa sebelum ini pada ketika saya mengendalikan kursus di Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Kedah di mana pihak kami terpaksa menunda satu hari kursus daripada tiga hari ke bulan lain. Ini berlaku selepas air di kawasan Jitra dinaiki air dan banyak jalan keluar terputus. Air di kawasan Kolej Komuniti Bandar Darulaman sudah naik hingga ke paras betis. Pada ketika itu kami membuat keputusan untuk menunda satu hari ke tarikh lain.

Selepas memaklumkan keputusan penundaan kursus kepada pihak Jabatan Pembangunan Kolej Komuniti, para peserta yang sudah dimaklumkan mengenainya mula beransur meninggalkan bangunan. Saya bersama dua orang fasilitor terpaksa menunggu sebentar untuk air surut sedikit bagi membolehkan kereta Innova yang dipandu isteri dapat memasuki kawasan. Alhamdulillah selepas menunggu kurang lebih 4 jam, air surut sedikit kami dapat keluar daripada kawasan. Cabaran kedua adalah untuk keluar dari Kuantan. Kami mendapat makluman berita melalui radio bahawa beberapa jalan keluar dari Kuantan sudah ditenggelami air. Jalan daripada Bandar Indera Mahkota, tempat kami menginap ke Lebuhraya Pantai Timur juga ditenggelami air. Saya membuat keputusan untuk mengirimkan dua fasilitator menaiki bas malamnya, manakala rombongan kedua yang terdiri daripada saya dan ahli keluarga keluar dengan kereta saya besok pagi. Pada malamnya letrik ditutup TNB kerana ada beberapa pencawang letrik sudah ditenggelami air, bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku ia terpaksa ditutup.

Paginya, kami keluar jam 7 pagi. Namun tidak keluar kerana jalan di hadapan Kolej Shahputra ditutup akibat air sungai bergerak deras. Kami singgah tomakninah bersarapan pagi di sebuah restoran berdekatan untuk mengisi perut. Alhamdulillah selepas bertanya dengan beberapa individu di restoran yang penuh dengan orang senasib dengan kami. Mereka mencadangkan kami keluar ke LPT melalui jalan Jabor, itupun jika jalan ke sana tidak tutup. Dengan tawakal kami melalui jalan dicadangkan dengan jayanya dan kami berjaya keluar dari Kuantan menuju ke Kuala Lumpur.

Satu lagi rombongan FINE Academy yang masih berada di Kuala Terengganu menghadapi situasi sama. Mereka berada di sana kerana perlu menyelesaikan sesi penilaian hari terakhir HIGH IMPACT PRESENTATION di Kolej Komuniti Kuala Terengganu sebelum menyertai saya di Kolej Komuniti Kuantan selepas itu, Mereka sukar untuk keluar dari Kuala Terengganu kerana jalan terdekat ke Kuala Lumpur kebanyakannya sudah dinaiki air. Mereka terpaksa bermalam satu malam lagi sebelum dapat keluar melalui Gua Musang dan turun ke Kuala Lumpur melalui Cameron Highlands. Alhamdulillah semua sudah selamat tiba di Kuala Lumpur dan pulang bertemu keluarga.

Saya sepatutnya dari Kuantan terus ke Kuala Terengganu untuk kursus besok, terpaksa pulang ke Kuala Lumpur dan menaiki kapal terbang ke Kuala Terengganu hari ini.

Bersangka Baik dengan Allah

Sebuah hadis dari Jabir bin Abdillah ra  berkata beliau pernah mendengar Nabi Muhammad SAW berkata tiga hari sebelum wafat

“Jangan seorang di antara kalian mati kecuali dia berbaik sangka kepada Allah.”

Hadis Riwayat Muslim

Sejak saya pulang ke Kuala Lumpur, setiap jam ada sahaja kemaskini melalui facebook, radio, televisyen dan akhbar online mengenai situasi banjir di Pahang, Terengganu dan Johor. Hingga di dalam parlimen juga dibangkitkan isu cadangan mengisyhtiharkan darurat di Kuantan kerana situasi genting ini. Walaupun cadangan itu tidak diterima atas sebab tertentu, namun bencana alam ini tidak dapat ditahan oleh manusia. Ia adalah ketentuan dan di bawah kuasa Allah. Tidak ada yang lain dapat menahannya kerana Allah sahaja yang dapat mengawalnya. Manusia boleh berusaha dan terus berusaha.

Apabila sesuatu bencana sebegini berlaku, selalu timbul di minda saya apakah sebabnya ia berlaku? Adakah ia disebabkan oleh tingkah laku manusia? Adakah ia memang situasi alam menghampiri kiamat? Adakah ia balasan yang ditimpa Allah atas alpa manusia? Apapun perkara yang kita fikirkan, hanya Allah sahaja yang tahu apa sebab ia berlaku.

Kita sebagai manusia perlu melihat perspektif positifnya walau ada yang suka melihat sisi negatifnya. Buat saya, situasi saya terpaksa menunda kursus ke tarikh lain adalah hikmah yang tersirat. Kos untuk datang semula ke Kuantan, membawa kembali rombongan jurulatih, menyewa tambahan malam di homestay ataupun hotel, tanggungan kos melepas yang perlu di’serap’ akibat penundaan, pulang ke Kuala Lumpur dan terpaksa menaiki kapal terbang untuk datang semula ke Kuala Terenggany adalah amat tinggi pada mata pandang seorang usahawan. Namun ia suatu situasi perlu dihadapi sebagai ujian atau kurnia kepada manusia yang mengatakan ia beriman kepada Maha Kuasa.

Apabila kita melihat pada mata pandang hikmah, kita akan menemuinya. Jika tidak sekarang mungkin pada masa akan datang. Antara hikmah yang saya peroleh adalah ruang untuk melakukan perkara tertangguh yang saya tinggalkan selama berada di luar kawasan sejak 3 minggu. Kerja ‘atas meja’ di pejabat dapat diselesaikan dengan efektif dengan 2 hari lapang akibat tiada kursus. Di tambah dengan itu saya dapat meluang masa atas threadmill yang terpaksa ‘keseorangan’ kerana tuannya tidak ada masa untuk berlari atasnya. Saya juga dapat merehatkan badan sementara menunggu kursus hari esok. Juga ada ruang untuk menulis blog saya yang sudah semakin usang ini :). Banyak lagi hikmah yang saya akan temui di masa hadapan, hanya masa dan waktu yang menentukan saya menemuinya ataupun tidak.

Saya noktahkan sebentar tinta ini, mahu membuka slaid KOMUNIKATOR SUPER untuk kursus esok bila. Doakan saya ada ruang kekosongan untuk kembali di sini :)

TULISAN OLEH: FAUZUL NA’IM ISHAK, JURULATIH UTAMA FINE ACADEMY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>