Salah Laluan Ataupun Salah Produk?

Sepanjang PBAKL 2008, antara isu yang paling hangat diperkatakan di kalangan pempamer adalah nasib pempamer di Dewan Tun Razak 2. Setiap hari sejak bermulanya PBAKL 2008, ada sahaja keluhan para pempamer di sana yang mengatakan dewan agak lengang berbanding dengan ruang pameran yang lain seperti di Dewan Tun Razak 3, 4 dan Ruang Legar Putra PWTC.

Isu ini hingga membawa kepada keluarnya satu petisyen daripada para pempamer TR2 kepada pihak JK pengelola PBAKL. Ada juga pempamer dari TR2 menyerang para JK tertinggi pengelola PBAKL. Semua ini berlaku di hadapan mata saya sendiri. Pelbagai kata-kata yang tidak sedap didengar dikeluarkan oleh mereka.

Antara alasan yang diberikan oleh mereka adalah ramai pengunjung tidak mahu ke sana kerana keletihan apabila sudah memasuki TR3, TR4 dan Legar Putra. Namun begitu peliknya, ia tidak berlaku kepada PTS. Jualan di gerai PTS walaupun berada di TR2 amat baik. Catatan hari biasa (tidak cuti) boleh mencecah jualan RM10 ribu ke RM20 ribu sehari. Catatan paling tinggi adalah pada hujung minggu hingga melebihi RM70 ribu. Gerai PTS tidak pernah lengang ada sahaja pengunjung yang mengerumuni buku-buku terbitannya.

Saya yang berada di kaunter sekretariat PBAKL 2008 (saya adalah JK pengelola PBAKL 2008) seringkali mendapat pertanyaan di manakah gerai PTS? Ruang mana? Kami memang mencari PTS dan banyak lagi pertnyataan lain.

Benarkah isu laluan? Ataupun isu produk? Berdasarkan pemerhatian dan penelitian saya, ada beberapa faktor yang membawa kepada jawapan persoalan ini. Saya boleh simpulkan faktor utama menyumbang kepada perkara ini adalah :

a) Masalah Laluan

Ini tidak boleh dinafikan, kedudukan TR2 yang berada di seberang sungai agak jauh kepada pengunjung biasa. Saya definisikan pengunjung biasa sebagai pengunjung yang datang untuk melihat-lihat atau dalam istilah biasa membeli belah jendela (window shopping, ini terjemahan biasa saya jumpa dalam buku-buku terjemahan sebuah institusi yang ditubuhkan oleh kerajaan khusus untuk menterjemahkan buku dari luar. Antara terjemahan yang menggelakkan saya beberapa hari adalah cash cow diterjemah kepada lembu tunai).

Ini boleh dilihat apabila pihak saya perlu mengendalikan pertukaran aliran laluan daripada mula daripada TR3 kepada TR2. Banyak rungutan dan keluhan didengari. Duta-duta PBAKL yang  berada di bawah arahan saya sering dimaki pengunjung terutamanya apabila kami memaksa pengunjung ke TR2 terlebih dahulu.

Para pencinta buku tidak mempunyai masalah ini. Mereka lebih teruja dan bersemangat walaupun TR2 ini agak jauh. Berpusu-pusu mereka ini ke sana.

b) Faktor Produk & Jenama

Kajian kes yang saya ambil adalah PTS. Walaupun PTS berada jauh di TR2, para peminat buku tetap ke sana kerana ingin memperoleh produk terbitan PTS. Ini mungkin kerana jenama PTS amat sinonim dengan produk menarik, pelbagai dan memenuhi citarasa pembaca. PTS tidak bermasalah dalam menghadapi situasi ini.

Berbeza dengan para penggerai lain, gerai PTS tidak pernah sunyi daripada kunjungan masyarakat. Gerai-gerai di tepinya sunyi tanpa pengunjung. Ada yang saya dengar jualan hariannya hanya sekitar RM100 sehari sahaja.

Saya berkesempatan bersembang dengan Pak A. Samad Said, Sasterawan Negara & Saudara Helmi Samad, Pengarah Urusan Penerbit Wira Bukit yang menerbitkan karya Pak Samad. Jualan di gerai mereka amat baik. Ada beberapa judul di gerai mereka habis stok. Ini satu perkara yang amat baik walaupun gerai mereka turut berada di TR2.

c) Promosi & Publisiti

Pempamer yang mempunyai usaha untuk mempromosi produk mereka mendapat perhatian yang lebih. Ada pempamer membawa penulis terbaik mereka, selebriti pelaris dan banyak lagi bagi menarik pelanggan dan pengunjung ke gerai mereka. PTS tidak pernah lekang daripada menganjurkan sesi bersama pengarang setiap hari. Para pengarangnya memberikan komitmen sepenuhnya untuk berada di gerai bagi bersama-sama dengan PTS dalam mempromosikan produk buku mereka.

Pak A.Samad Said juga tidak pernah tidak berada di gerai Wira Bukit setiap hari. Ia menjadi tarikan kepada pembeli untuk membeli seterusnya mendapatkan tandantangan beliau.

Para pempamer di TR2 yang mempunyai nilai ini, jualannya lebih baik daripada yang lain.

Satu analisis mudah daripada pemerhati PBAKL 2008. Mungkin lepas ini ada lagi analisis daripada PBAKL 2008.

NOTA : Gambar di atas daripada motivasimindamu.blogspot.com. Foto di bawah adalah koleksi PTS

Comments

  1. says

    pada tahun ini saya hanya sempat ke booth PTS sekali sahaja tidak seperti tahun sebelumnya. Apa yang ingin diperkatakan..mungkin kualiti buku yang terbaik sahaja menjadi pilihan pembaca. Kebanyakan novelis cinta , buku motivasi yang bersifat copy paste yang menjadikan kualiti buku merundum. Adakalanya baca bacaan yang diperolehih sudah pernah dibaca melalui blog2…atau forum tertentu.

    Sekian pendapat saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *