Temu Ramah Eksklusif Bersama Tuan Haji Ahmad Fadzli Yusof

Saudara Ahmad Fadzli Yusof adalah seorang pengarang yang prolifik. Beliau sudah menghasilkan lebih dari 20 buah buku sepanjang 3 tahun. Buku karangan beliau bersama Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah 55 Petua Orang Berjaya dan Kuasa Hijrah, Kuasa Untuk Berubah pernah menduduki carta Top 10 MPH beberapa minggu. Saya berpeluang membuat temuramah eksklusif bersama beliau. Ia adalah untuk projek anjuran Akademi Penulis. Mari ikuti petikan daripada temuramah tersebut.

Bolehkah pihak Saudara ceritakan sejarah penglibatan Saudara dalam dunia penulisan?

Apabila ingin dikatakan penglibatan saya dalam bidang penulisan ini dirancang dari awal, rasanya tidak. Pada masa zaman universiti, saya banyak terlibat dalam beberapa program pembangunan insan yang melibatkan remaja, ibu bapa dan masyarakat setempat. Ini termasuk dengan beberapa program kepimpinan pelajar. Berdasarkan pengalaman tersebut saya ada menulis artikel, rencana, kertas kerja dan terlibat secara langsung dalam editorial majalah di universiti.

Berdasarkan pengalaman itu, beberapa tulisan yang sebelum ini saya simpan di dalam komputer. Beberapa orang rakan mengajak saya menulis. Idea pada ketika itu adalah mengumpulkan kesemua tulisan saya dan rakan-rakan itu serta dibukukan menggunakan beberapa teknik hasil latihan PTS melalui Puan Ainon Mohd. Antara teknik yang diperkenalkan pada ketika itu adalah Teknik KJ Metode. Hasil daripada itu, kami berjaya menghasilkan sebuah buku iaitu buku pertama Mengurus Kerja dan Waktu.

Selepas itu, rasa ghairah mula timbul. Ini disebabkan buku pertama itu memberikan satu kepuasan psikologi, hasil kepuasan menerbitkan buku. Ia memberikan rangsangan untuk terus menulis. Apabila saya menerima buku pertama yang siap tercetak itu, saya terus menyerahkan manuskrip buku kedua iaitu yang bertajuk Mengurus Kerja & Waktu. Ini kerana semasa saya menyerahkan buku pertama saya terus menulis buku yang kedua tanpa menunggunya siap.

Ini semua disebabkan oleh kepuasan. Setiap halaman yang ditulis itu menimbulkan satu kepuasan. Apabila siap satu manuskrip menjadi satu buku itu satu kepuasan. Apabila dihantar kepada penerbit itu satu kepuasan, siap menerima buku tercetak dan melihat orang membeli buku itu juga satu kepuasan. Kesemua ini adalah kepuasan psikologi yang saya peroleh .

Inilah yang mendorong dan merangsang saya terus berkecimpung dalam bidang ini. Ia mewujudkan apa yang dikatakan sebagai self actualization.

Apakah perjuangan inspirasi saudara dalam penulisan?

Inspirasi yang mendorong gagasan dan falsafah untuk berkongsi idea kejayaan. Segala artikel, kertas kerja dan rencana yang saya tulis sebelum ini, apabila disimpan ia tidak memberikan apa-apa manfaat kepada sesiapapun. Namun begitu apabila ia dikumpulkan, digarap dan dituliskan serta kemudian diterbitkan akan memberikan faedah kepada orang ramai.

Falsafah dan gagasan inilah yang menyebabkan saya terus menulis. Saya juga memberikan pandangan kepada ramai pengarang lain terutamanya rakan penulis saya agar membanyakkan lagi bahan-bahan yang baik dan berfaedah untuk masyarakat. Gagasan ini juga membentuk disiplin penyelidikan dalam penulisan selepas itu. Fokus utama adalah menjadikan orang lebih baik. Dalam Islam, ilmu baik yang menjadikan orang lebih baik adalah amalan yang berterusan. Ia umpama satu ekuiti yang membawa kepada ganjaran lebih besar di akhirat kelak.

Yang lebih baik, apabila kita fokus kepada gagasan dan inspirasi itu. Dengan sendirinya ia membakar kita untuk terus menulis. Akhirnya ia memberikan kepuasan psikologi. Kesemua ini salin berkaitan antara satu sama lain.

Apakah gagasan yang dipilih oleh saudara dan bagaimanakah saudara boleh memilih gagasan tersebut?

Dalam bidang penulisan ada banyak bidang yang boleh dipilih. Bidang rujukan,  akademik, bisnes, pembangunan diri, fiksyen. Dalam bidang fiksyen juga adalah luas, ada novel remaja, cerita kanak-kanak dan banyak lagi. Oleh itu saya sendiri memilih bidang pembangunan insan sebagai fokus gagasan saya. Dalam bidang pembangunan insan juga mempunyai banyak pecahannya. Saya memilih perubahan diri, kecekapan dan produktiviti individu. Ia termasuk elemen memperkasakan diri individu, mengurus diri, mengurus kerja dan kepemimpinan.

Apabila kita memilih sesuatu bidang, ia meliputi teori-teori yang dicetuskan oleh para cendekiawan sebelum ini. Kita harus membuat pembacaan yang lebih meluas. Daripada situ, kita dapat membuat kajian mendalam bagi mencetuskan idea memilih gagasan kita. Ia tidak boleh sekadar merenung-renung sahaja, kesemuanya hadir daripada kajian dan pembacaan. Selepas itu kita mula berinteraksi dengan komuniti-komuniti dalam bidang tersebut. Ini menjadikan kita lebih matang dalam bidang tersebut.

Analogi yang boleh kita jadikan contoh seperti memasak. Kita boleh memilih memasak pelbagai jenis masakan. Masakan timur, masakan barat, masakan Perancis, Itali dan tidak ketinggalan masakan Nusantara. Kesemua ini kita perlu ada pengetahuan secara umum. Kemudian apabila memilih, kita membaca secara fokus kepada masakan yang kita pilih. Apakah asas dan falsafah setiap masakan, apakah bezanya antara setiap masakan. Mungkin terlebih tomato, mungkin terlebih rempah dan sebagainya. Apabila kita sudah tahu kesemua itu, kita boleh buat keputusan masakan manakah yang kita ingin dalami dan jadi pakar kepadanya.

Apakah perlu seseorang pengarang itu menulis mengikut latar belakang pendidikannya?

Dalam beberapa keadaan, ada baiknya seseorang itu menulis dalam bidang berkaitan pendidikannya. Namun begitu ia bukanlah perkara yang wajib. Buku yang baik terhasil daripada kredibiliti pengarang. Kredibiliti mungkin hanya salah satu daripada faktor kredibiliti tersebut. Ini tidak seharusnya mengongkong potensi kita dalam penulisan, seharusnya ia menyokong kita. Ada sesetengah individu mempunyai keupayaan kebolehan, pengalaman dan kebolehan dalam sesuatu bidang. Namun begitu disebabkan latar belakang pendidikan berbeza menjadikan mereka ini tidak memilih mendalami kebolehan tersebut.

Kita harus melihat senario ini secara terbuka. Bagi seseorang yang belajar dalam sesuatu bidang di peringkat universiti. Beliau belajar mengenai bidang itu hanya dalam masa singkat. Mungkin empat ke lima tahun sahaja. Ia berbeza pembelajaran intensif semasa di sekolah rendah dan menengah yang lebih lama. Di sana kita belajar lebih banyak perkara berbanding di universiti. Kenapa kita mengongkong diri dan fikiran kita semata-mata disebabkan oleh sekeping ijazah. Ijazah yang berkaitan dengan apa yang kita tulis adalah satu perkara bonus dan memberikan nilai tambah.

Namun begitu apabila kita menulis dalam satu bidang yang mana kita lebih ghairah mengenainya, mengapa pula tidak boleh? Ini berkait rapat dengan apa yang kita sebut sebagai positioning atau penempatan diri kita. Kita harus mempelajari bagaimana untuk menempatkan diri kita, lakukan secara beransur-ansur. Ini berkait rapat dengan penjenamaan diri dan bagaimana kita memasarkan diri kita dalam pasaran.

Adakah sistem pendidikan di negara kita memungkinkan seseorang itu menceburi penulisan?

Apabila kita ingin cuba mengaitkan di antara sistem pendidikan dan menceburi bidang penulisan, ia tidak mempunyai hubungan yang rapat. Namun begitu ada beberapa pihak yang mengatakan bahawa apabila mereka mendapat keputusan rendah dalam beberapa subjek tertentu seperti subjek bahasa Melayu menyebabkan mereka tidak boleh menjadi penulis yang baik. Saya sendiri hanya mendapat keputusan B dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Namun begitu ia tidak pernah menjadi label kepada keupayaan saya. Dalam hal ini, yang lebih buruk apabila keputusan dalam penulisan menyebabkan kita merasakan tidak berbakat dalam menulis. Sedangkan secara realitinya, penulisan dalam keadaan semasa penulis tidak mengikut disiplin penulisan seperti mana peperiksaan tersebut.

Kriteria utama dalam penulisan semasa peperiksaan bukanlah menggambarkan kriteria sebenar dunia penulisan. Peperiksaan lebih memfokuskan kepada penggunaan tatabahasa, simpulan bahasa, ketepatan format, penggunaan perbendaharaan kata, penggunaan imbuhan bahasa yang berbelit-belit. Dalam peperiksaan semua ini penting, namun begitu dalam menulis buku popular kesemua ini tidak penting. Kedua-duanya jauh berbeza.

Hendak lagi? Nantikan kehadiran buku Jana Wang Dengan Menulis yang bakal terbit November ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *